Thursday, February 4, 2010

SUPLEMEN SAKIT SENDI


Apabila seseorang itu meningkat usia, risiko untuk mendapat osteoartritis juga semakin meningkat. Osteoartritis merupakan masalah penipisan rawan yang bertanggungjawab kepada fleksibiliti, dan penyerap hentakan atau turut dikenali sebagai ‘kusyen’ sendi yang memudahkan pergerakan.

Kekeringan rawan ini akan menyebabkan tulang akan bergeseran antara satu sama lain dan lama-kelamaan ia akan menyebabkan keradangan, kesakitan dan juga mengubah bentuk sendi itu sendiri sekiranya dibiarkan tanpa rawatan. Kesannya, ia mungkin menyebabkan pesakit tidak mampu untuk bergerak.

Glukosamin adalah suplemen yang digunakan secara meluas dalam rawatan osteoartritis. Glukosamin merangsang penghasilan kedua-dua proteoglikan dan kolagen bagi memperbaiki metabolisme rawan yang membantu mengelakkan kemerosotan rawan, membantu tubuh membaik pulih kerosakan rawan (menguatkan mekanisme pemulihan semula jadi tubuh) serta memperlahan kerosakan atau kemerosotan kesihatan sendi.

Dos yang bersesuaian untuk rawatan adalah sekitar 1,500 miligram (mg) sehari yang seharusnya diambil secara berterusan selama sekitar tiga bulan untuk melihat keberkesanannya.

Selain itu, pengambilan minyak tertentu juga bermanfaat. Ini kerana ia boleh membekalkan keperluan asid lemak omega 3, asid eikosapentanoik (EPA) dan asid dokosaheksanoik (DHA) yang boleh memainkan peranan penting dalam masalah keradangan seperti osteoartritis.

Mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan berat badan adalah perlu (sekiranya mereka mempunyai berat badan berlebihan) kerana ia membantu mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh sendi anda. Kajian menunjukkan senaman seharusnya dijadikan sebagai sebahagian daripada rawatan untuk osteoartritis. Senaman juga boleh meningkatkan fleksibiliti, memperbaiki peredaran darah dan tahap kecergasan.





No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...