Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
KESAN pembedahan mengganti sendi yang dilakukan Vasantha enam tahun lalu.
KESAKITAN yang dilaluinya ketika berusia awal 30-an sukar digambarkan dengan kata-kata. Malah kekecewaan akibat dilanda penyakit secara tiba-tiba menyebabkan dia sukar melakukan kerja. Namun bertemankan sokongan suami serta semangat yang ada pada dirinya, Vasantha meneruskan kehidupan.
Segala-galanya bermula apabila wanita berusia 58 tahun itu mengalami tanda bengkak pada bahagian lutut kiri. Dia menganggap sakit yang tidak diketahui apa sebenarnya itu akan sembuh selepas memakan ubat.
Bagaimanapun, keadaan tidak berubah. Vasantha yang mempunyai gaya hidup aktif terpaksa menahan kesakitan setiap kali bergerak.
Bagi mendapatkan kepastian penyakit yang dialaminya itu, dia pergi ke klinik swasta untuk menjalani ujian darah pada tahun 1983. Vasantha disahkan menghidap artritis reumatoid (RA). Penderitaannya tidak berhenti setakat itu. Kesakitan yang bermula di lutut kiri beralih ke lutut kanan.
"Kesakitan berterusan menyebabkan saya hampir berubah menjadi mudah putus asa akibat keadaan diri yang kurang upaya. Walaupun terpaksa berjalan amat perlahan, saya perlu pergi kerja seperti biasa. Selain itu, saya terpaksa memanjat tangga setiap hari.
"Memang keadaan sangat perit ketika itu. Sehingga satu peringkat saya tidak boleh memutar tombol pintu rumah. Saya juga tidak mampu memegang berus gigi akibat sakit sendi yang menjalar ke bahagian tangan,'' katanya.
Wanita itu turut berkongsi cerita tentang betapa sukarnya dia untuk membongkok selain tidak boleh duduk di tandas biasa.
Namun nasib menyebelahinya lantaran dikurniakan suami yang setia dan sentiasa memberi sokongan.
''Disebabkan sokongan suami juga saya lebih bersemangat melawan penyakit ini," katanya ketika mengimbau penderitaannya diserang RA hampir 20 tahun lalu.
Vasantha kemudian menemui Pakar Runding Reumatologi dan dia disarankan melakukan pembedahan lutut.
Pada 2004, Vasantha melakukan pembedahan ganti sendi untuk lutut kanan. Setahun kemudian, dia melakukan pembedahan lutut kiri. Selepas pembedahan, dia mendapati keadaan sendinya semakin baik. Bagaimanapun dia berasa amat sakit di pergelangan tangan menyebabkan dia sukar untuk ke tandas.
Kerja-kerja rumah pula dilakukan oleh suaminya. Hakikatnya penyakit RA yang dihidapi Vasantha tidak boleh pulih sepenuhnya.
''Hingga saat ini kesakitan masih ada terutama pada bahagian sendi tetapi sekurang-kurangnya saya sudah boleh berjalan walaupun perlahan," ujarnya yang berhenti kerja pada enam tahun lalu.
Vasantha masih melakukan rawatan susulan di Hospital Serdang yang turut mendapat nasihat Pakar Perubatan Reumatologi dan Presiden Persatuan Reumatologi Malaysia, Dr. Muhaini Othman.
Nasihatnya pada wanita lain, perlu ada pemeriksaan awal jika mereka mengalami tanda-tanda awal RA.
"Penyakit saya didiagnosis pada umur 38 dan kini selepas 20 tahun saya semakin gembira dan sihat. Mungkin saya cepat bertindak dan tidak segan silu mendapatkan rawatan. Sebenarnya ia bergantung kepada seseorang. Sekarang tangan saya sudah boleh bergerak dan saya pula membantu suami.
''Pada tahun 2006, suami saya pula terpaksa berkerusi roda. Seperti mimpi, saya pula membantu suami bergerak ke mana sahaja. Ini mungkin rahmat dan dugaan yang terpaksa saya lalui. Namun, saya gembira kerana suami sebelum ini banyak memberi semangat kepada saya," ujarnya.
Sementara itu, Dr. Muhaini memberitahu, RA adalah penyakit autoimun yang terjadi apabila sistem imun tubuh tidak normal dan menyerang sel atau tisu sihat dalam badan.
"RA sifatnya progresif dan lazimnya ia menyerang sendi kecil khususnya jari (tangan dan kaki) dan pergelangan tangan. Ia kemudian menyebabkan sendi radang begitu juga tulang sekelilingnya dan akhirnya menyebabkan pesakit hilang kualiti dalam hidup," jelas beliau.
Menurut Dr. Muhaini, RA boleh beransur pulih dengan rawatan sendi yang teratur sendi dan boleh mengelak daripada sendi mengalami kerosakan kekal. Biasanya mengubah gaya hidup, makan ubat dan menjadikan hidup lebih produktif antara pelan mengurus RA.
No comments:
Post a Comment