Friday, January 29, 2010

ELAK SENDI HAUS DAN LUSUH


PERNAHKAH anda mendengar bunyi ‘krak’ di bahagian belakang badan? Atau ada ketikanya badan terasa berat selepas sarapan pagi? Ini perkara biasa. Apabila usia meningkat, badan kita menjadi kurang fleksibel.

Secara purata, kebanyakan orang mula mengalami proses penuaan dalam lingkungan 50-an apabila ‘prestasi’ badan mereka menurun. Proses penuaan tidak dapat dihentikan, tetapi ia boleh dilengahkan dengan amalan gaya hidup sihat.

Satu pendekatan melengahkan proses penuaan ialah mengekalkan keanjalan sendi, otot dan memastikan tulang sentiasa sihat, seiring dengan aktiviti kehidupan. Adalah penting untuk memastikan proses penggantian tisu, terutama di sekeliling tulang dan otot, berlaku dalam keadaan optimum.

Selain kekal sihat dan cergas, menjaga pemakanan adalah dua perkara penting di samping pengambilan pil makanan tambahan yang diperlukan sesuai dengan peningkatan usia. Ramai beranggapan orang tua tidak memerlukan pil makanan tambahan, tetapi ia kurang tepat kerana semakin kita berusia, selera makan menurun dan kita mungkin berdepan kekurangan zat.

Atlit berumur atau mereka yang berusia melebihi 40-an dan masih kekal aktif secara fizikal harus mengekalkan kesihatan sendi dan rawan. Ini kerana pada peringkat usia sebegini, proses ‘kehausan dan kelusuhan’ otot dan sendi badan kian ketara.

Bagi yang berusia dan menjalani gaya hidup aktif, amalan diet sihat dan seimbang saja mungkin tidak mencukupi. Aktiviti sukan dan senaman bersifat sederhana (ringan) dan boleh memberi tekanan kepada badan adalah baik untuk mengekalkan sendi yang sihat.

Senaman Amalan Yang Baik

Langkah pertama dalam senaman fizikal ialah memperbaiki kedudukan badan dengan menggabungkan teknik mengangkat bebanan ringan bagi memastikan sendi turut bersenam. Jangan angkat bebanan berat atau melakukan senaman teruk kerana ia menyebabkan kecederaan dan kehilangan otot.

Dalam erti kata lain, bebanan berlebihan menyebabkan sendi anda ‘haus dan lusuh’. Otot boleh dibina semula, tetapi sendi rosak. Senaman keterlaluan menyebabkan membran sinovial yang mengandungi bendalir pelinciran di dalam rawan menjadi haus dan alas meniskus terkoyak.

Kebanyakan orang yang mempunyai sakit sendi menderita osteoartritis. 'Osteo' bermaksud tulang dan 'artritis' bermaksud sendi rosak dan radang. Osteoartritis adalah penyakit kemerosotan disebabkan proses 'kehausan dan kelusuhan' sendi. Ia berlaku akibat tekanan pada sendi setiap hari. Apabila ia terjadi, sendi menjadi radang. Permukaan sendi rosak dan tulang di sekelilingnya menjadi lebih tebal.

Hampir setiap orang yang berumur lebih 60 tahun mengalami keadaan seperti ini. Osteoartritis berlaku apabila alas untuk rawan semakin menipis dan permukaan dalaman sendi bergesel. Geselan ini menjadikan sendi ‘haus dan lusuh’.

Mereka yang mengalaminya akan kesakitan. Untuk osteoartritis, tiada rawatan 100 peratus efektif untuk menyembuhkannya, tetapi ada cara untuk mengurangkan kesakitan ini.

Senaman ringan, pemakanan sempurna dan sikap positif boleh mengurangkan kesakitan akibat osteoartritis. Senaman terbaik untuk mengangkat bebanan ringan, mengayuh basikal tidak bergerak dan senaman meregangkan badan seperti yoga.

Pil Makanan Tambahan Untuk Pesakit Arthritis

Minyak ikan kod boleh membantu sendi lutut, bahu, lengan, buku lali, bahagian belakang dan setiap sendi di dalam badan menjadi sihat. Kajian menunjukkan minyak ikan kod membantu mengurangkan penderitaan pesakit osteoartritis.

Penyelidik di Cardiff, Wales, Dr Bruce Caterson, yang membuat kajian ke atas minyak ikan kod berkata, asid lemak Omega-3 pada minyak ikan kod boleh mengurangkan kemerosotan dan keradangan rawan dalam penyakit artritis.

Fakta

1. Umur lebih 60 tahun mengalami sendi lusuh.

2. Senaman ringan baik untuk mengekalkan sendi sihat.

3. Ambil pil makanan tambahan.

1 comment:

  1. Info menarik
    Saya sukakan nya
    Jemput ziarah www.hanasihat.blogspot.com

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...