Friday, January 29, 2010

ARTRITIS JUVANA


Oleh

NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

Sistem Imun Keliru

TERSENTUH hati mendengar soalan pesakit artritis remaja yang bertanya, adakah mereka berpeluang mengandung dan mempunyai anak, sedangkan sejak kecil semua pesakit terpaksa bergantung kepada pelbagai jenis ubat untuk meneruskan hidup dengan baik.

Walaupun baru menginjak ke usia remaja, kebanyakan pesakit yang menyertai Kem Berdikari Kelab Artritis Juvana anjuran bersama Yayasan Artritis Malaysia (AFM) dan Genting Golf Course Bhd sudah berfikir mengenai masa depan mereka.

Jika dilihat sekali lalu, mereka sama seperti remaja lain. Bezanya, saiz badan mereka mungkin lebih kecil berbanding rakan sebaya tetapi daripada segi kebolehan minda dan fizikal, pesakit artritis juvana idiopatik (JIA) setanding dengan remaja lain.

Semua peserta kem adalah pesakit JIA atau dalam perkataan mudah, mereka penghidap penyakit sendi yang mula menyerang seawal umur beberapa bulan selepas dilahirkan.

Masih ramai tidak percaya orang muda, termasuk bayi, kanak-kanak dan remaja, juga boleh mengalami masalah sakit sendi. Namun inilah hakikatnya. Gejala dialami pesakit JIA juga sama seperti sakit sendi orang dewasa.

Jika penyakit menyerang, sendi mereka bengkak, merah, panas, tegang, sakit dan tidak boleh digerakkan. Sendi pesakit artritis biasanya mengalami ketegangan pada waktu pagi sehingga menyukarkan mereka bangun dari tempat tidur.

Walaupun gejalanya sama, Perunding Reumatologi Paediatrik Hospital Selayang, Dr Tang Swee Ping, berkata sakit sendi yang menyerang kanak-kanak dan remaja tidak sama dengan sakit sendi orang dewasa.

Artritis atau sakit sendi orang dewasa biasanya disebabkan osteoartritis, artritis reumatoid atau gout, sedangkan punca artritis pada golongan amat muda ini tidak diketahui.

“Artritis merujuk kepada keradangan teruk pada satu atau lebih sendi yang berlanjutan melebihi enam minggu. Ia boleh berlaku kepada sesiapa saja sebaik seseorang itu dilahirkan.

“Ia bukan penyakit lazim, tetapi dianggarkan satu daripada 1,000 bayi, kanak-kanak dan remaja berumur di bawah 16 tahun mengalami artritis. Secara umumnya penyakit ini lebih kerap berlaku pada kanak-kanak perempuan berbanding lelaki,” katanya.

Apabila anak menghidap penyakit ini, ada ibu bapa menyalahkan diri sendiri. Namun kajian membuktikan JIA bukan disebabkan jangkitan, salah makan, sebarang peristiwa ketika mengandung, trauma, kecederaan atau cuaca.

Sehingga kini tiada siapa tahu punca artritis pada kanak-kanak. Yang berlaku ialah, sistem pertahanan badan pesakit mengalami kekeliruan dan menganggap tisu sihat sebagai benda asing yang perlu dimusnahkan.

Justeru, setiap pesakit sangat istimewa. Rawatan diberikan kepada setiap orang juga berbeza mengikut jenis dan tahap penyakit serta tindak balas badan pesakit terhadap ubat.

Hidup dikelilingi ubat adalah perkara biasa bagi pesakit JIA. Ada yang diserang penyakit sejak berumur setahun. Tahap kemaraan penyakit juga berbeza antara individu. Namun secara umumnya penyakit dapat dikawal jika cepat mendapatkan rawatan.

Pengambilan ubat sesuai pada peringkat awal dapat mengelakkan kerosakan sendi. Ini kerana kerosakan sendi akibat JIA bersifat kekal dan tidak boleh diubati.

Persoalannya, selama mana pesakit perlu mengambil ubat? Dr Tang berkata, sehingga kini tiada ujian dapat menentukan berapa lama pesakit artritis akan menghidap penyakit itu.

Malah, pakar perubatan juga tidak dapat memastikan kadar kemaraan penyakit. Namun yang pasti, tanpa rawatan, penyakit boleh berkembang dengan cepat dan merosakkan sendi yang diserang.

“Pesakit selalu bertanya adakah penyakit mereka akan terus aktif apabila dewasa kelak. Perkara ini sukar dipastikan, tetapi dengan pengambilan ubat yang teratur, dianggarkan 60 peratus boleh sembuh apabila dewasa, manakala 40 peratus lagi akan tetap mengalami keradangan sendi.

“Dalam lingkungan 40 peratus ini, mereka mungkin mengalami kesusahan melakukan aktiviti harian disebabkan kerosakan sendi ketika penyakit aktif (mendapat serangan semula),” katanya.

Bolehkah Pesakit Belajar Di Universiti?

Dr Tang berkata, pesakit artritis mempunyai peluang sama seperti pelajar lain kerana penyakit ini tidak mengganggu otak. Bagaimanapun, pesakit perlu memaklumkan pihak universiti mengenai penyakit mereka dan kesusahan fizikal yang dialami.

Jika rajin dan tekun belajar, mereka boleh menjadi pelajar baik. Malah, ramai pesakit artritis mempamerkan prestasi lebih cemerlang berbanding rakan yang sihat.

Bolehkah Pesakit Mendapat Kerja Dan Apakah Pekerjaan Yang Patut Dipilih?

Ya. Hak pesakit tidak boleh dinafikan jika mereka mempunyai kebolehan dan tahap pendidikan sesuai; maka peluang pekerjaan sentiasa terbuka.

Bagaimanapun, ramai pesakit artritis mengalami kesusahan kerana mereka lebih pendiam, kurang gemar bercampur dengan orang lain, tidak berani bercakap (mungkin disebabkan rasa rendah diri) dan faktor ini boleh menjadi masalah, walaupun kepada orang biasa.

Sesetengah pesakit artritis menghadapi masalah mendapat kerja disebabkan masalah fizikal mereka. Justeru, pesakit perlu memilih kerjaya yang sesuai dengan kebolehan mereka. Jika pesakit ada masalah pergerakan sendi, sebaik-baiknya pilihlah pekerjaan yang tidak membabitkan aktiviti fizikal berat.

Adakah Pesakit Artritis Sama Seperti Orang Lain?

"Tidak. Pesakit artritis adalah golongan istimewa. Penyakit ini membuatkan mereka lebih cepat matang, kuat semangat, mampu menangani dugaan hidup dan berdikari.

"Pesakit juga boleh berfungsi seperti orang lain dengan syarat mereka mahu membantu diri sendiri untuk mara ke depan. Jangan selalu mengharapkan bantuan orang, sebaliknya cuba belajar berdikari dari kecil,” kata Dr Tang.

Bolehkah Pesakit Berkahwin Dan Mendapat Anak?

Memang boleh. Bagaimanapun, hampir 50 peratus pesakit artritis bimbangkan rupa paras mereka kerana ubat steroid seperti prednisolon menyebabkan wajah menjadi bulat, selera makan bertambah dan berat badan meningkat.

Ubat diambil tidak menjejaskan kesuburan pesakit dan peluang mendapat anak. Malah, penyakit artritis tidak merosakkan ovari dan ubat tidak memberi kesan terhadap ovari.

Namun semua pesakit yang ingin mengandung perlu memberitahu doktor terlebih dulu kerana ubat DMARs seperti methotrexate dan leflunomide boleh menyebabkan kecacatan pada bayi. Doktor akan membuat pengubahsuaian pada ubat bagi mengawal penyakit dan pada masa sama ia tidak memudaratkan bayi dalam kandungan.

Apakah Yang Boleh Dibuat Untuk Menolong Masa Depan Pesakit?

Dr Tang berkata, perkara paling penting ialah berfikiran positif. Fikiran positif juga boleh menjadi penggalak kepada rawatan iaitu dengan :

1. Patuh mengambil ubat.

2. Memakai splints (acuan khas yang mengelakkan anggota diserang berubah bentuk).

3. Melakukan senaman penjagaan sendi.

4. Menjaga sendi dengan baik.

5. Patuhi temujanji dengan doktor.

6. Cuba belajar berdikari.

"Setiap pesakit mempunyai masa depan cerah, boleh mendapat pekerjaan baik dan berkeluarga. Masa depan pesakit bergantung kepada diri sendiri dan apa dilakukan hari ini. Sayangi diri sendiri dengan mengambil ubat, berfikiran positif dan rajin berdikari,” katanya.

Jenis Penyakit

Penyakit ini sangat kompleks kerana ia ada banyak jenis iaitu :

1. Oligoartritis.

2. Poliartritis.

3. Faktor Positif Reumatoid.

4. Faktor Negatif Reumatoid.

5. Sistemik.

6. Artritis Yang Berkaitan Dengan Entesitis.

7. Artritis Psoriasis.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...