Saturday, March 20, 2010

Rawatan Sakit Belakang Tanpa Pembedahan

 
Oleh Hazlinda Hamzah - BERNAMA

 
SAKIT belakang tidak semestinya memerlukan pembedahan sebagai kaedah penyelesaiannya. - gambar hiasan.

Saya tidak mahu dibedah untuk pulihkan masalah sakit belakang saya. Saya takut jika pembedahan itu tidak berjaya dan saya lumpuh. Saya tidak yakin sanggup menanggung akibatnya," kata Siti Ismail, seorang wanita bertubuh kecil yang aktif bersukan mewakili tempat kerjanya, seperti badminton dan ping pong.

Sakit belakang yang dialaminya sejak beliau mengangkat sebuah pasu bunga berat, kini merupakan kebimbangan utamanya.

Selepas bertemu dengan beberapa pakar ortopedik, pakar neurologi serta pengamal perubatan alternatif, Siti yakin bahawa sakit belakang beliau boleh dirawat tanpa pembedahan. Dan beliau yakin keputusan beliau betul!

Dr. Siow Yew Siong, seorang Pakar Bedah Ortopedik berpengalaman, mengesahkan bahawa pembedahan bukan satu-satunya kaedah pemulihan sakit belakang dan ia bukan dalam senarai keutamaan rawatan bagi mereka dengan masalah spina degeneratif.

SAKIT BELAKANG

"Kebanyakan mereka yang mengalami sakit belakang menyeksakan khususnya di bahagian bawah badan ialah yang berusia lebih 45 tahun. Ini disebabkan oleh tulang spina yang menebal dan juga ligamen. Sebenarnya, kaki yang berasa kebas merupakan sebahagian daripada simptom sakit belakang, khasnya di bahagian bawah," jelas Dr. Siow.

Apabila ditanya berapa lama tempoh yang diambil oleh mereka yang mengalami sakit belakang untuk mengatasi kesengsaraan ini, tidak kira semasa berdiri atau duduk, Dr. Siow berkata: "Pertama, kami perlu bertanyakan kepada pesakit sejarah terperinci sakit belakang yang mereka alami. Kemudian, menguji kekuatan otot untuk memastikan refleks mereka. Satu ujian darah dilakukan untuk mengenal pasti punca sakit yang teruk ini.

"Langkah berikut ialah ujian MRI ataupun Magnetic Resonance Imaging, yang akan mengenal pasti sama ada sakit itu disebabkan oleh masalah tulang degeneratif atau kecederaan," katanya ketika ditemui pada forum kesihatan umum bagi Sakit Belakang dan Kaki Kebas, baru-baru ini.

Satu ujian saraf kemudian dijalankan untuk mengenal pasti saraf yang terbabit dalam sakit yang menyeksakan ini. Imbasan tulang hanya dilakukan untuk mendiagnosis bahagian tulang yang terbabit dan juga untuk memantau apa-apa jangkitan selepas kecederaan berlaku.

"Saya cadangkan pencegahan sebagai cara terbaik dalam mengelak sakit belakang yang menyeksakan ini. Lakukan senamanan Neural Flossing. Ia hanya mengambil masa 30 minit; 10 minit apabila anda bangun pagi, sebelum turun dari katil untuk ke tandas dan 20 minit sebelum anda masuk tidur.

"Pesakit saya sentiasa memberi alasan yang mereka kesuntukan masa. Pastikan tilam anda mampat, supaya ia dapat menampung badan anda dengan baik," tegas Dr. Siow apabila ditanya akan kaedah rawatan terbaik bagi sakit belakang.

RAWATAN BAGI SAKIT BELAKANG

Menurut beliau, setiap orang harus meneliti dengan serius postur berdiri dan duduk masing-masing.

Nasihat beliau, pastinya wajar diberikan pertimbangan khusus bagi mereka yang menaip berjam-jam di hadapan komputer di ruang kerja mereka.

"Duduk lama di satu tempat tidak baik untuk tulang belakang anda. Saya menggalakkan pesakit saya untuk mengingatkan rakan-rakan mereka supaya berdiri untuk beberapa minit selepas duduk selama sejam."

"Berjalan pastinya disyorkan, walaupun mungkin ada majikan yang tidak senang dengan kakitangan 'hiperaktif' yang berjalan semasa waktu kerja," tambah Dr. Siow berseloroh.

Harus diingati yang tiada siapa yang terkecuali daripada sakit ini, tidak kira muda atau tua.

Sebenarnya, sakit belakang yang dialami oleh pesakit muda tidak kurang serius berbanding golongan berusia yang mengalaminya. "Bagi kanak-kanak, ia sebahagian daripada proses pembesaran mereka," jelas Dr. Siow kepada seorang ibu yang meminta penjelasan semasa forum itu.

Seorang lagi yang hanya mahu dikenali sebagai Nordin, bertanya mengenai teknik serta keberkesanan rawatan frekuensi radio oleh kerana ramai yang takut untuk menjalani pembedahan.

Pakar ini menjelaskan bahawa di bawah prosedur gelombang radio, saraf di tempat berkenaan dibakar dan rawatan ini boleh menghentikan rasa sakit bagi tempoh 9 hingga 12 bulan.

Bagaimanapun, untuk memastikan tempoh bebas sakit yang lebih lama latihan Neural Flossing mesti dijalankan secara berterusan.

POSTUR BAIK

Aneh sekali, selepas itu pesakit biasanya lupa masalah mereka itu dan mereka akan leka semula apabila tiada sakit ini selama 12 bulan. Mereka juga mengabaikan senaman dan akhirnya sakit belakang ini menghantui mereka semula.

Saraf menghantar perutusan sakit ke otak. Oleh itu apabila saraf dirawat mengikut prosedur ini, ia menghentikan perutusan sakit. Bagaimanapun, saraf ini boleh hidup semula dan tumbuh.

Terdapat kes di mana saraf-saraf ini walaupun kembali berkomunikasi dengan otak, tiada lagi rasa sakit. Ini kerana pesakit terus menjalani fisioterapi dan latihan secara berjadual.

Hari ini, terdapat pelbagai penawar untuk merawat sakit belakang, yang boleh menjejaskan kehidupan.

Epidural Lysis dan Radiofrequency Ablation kini terdapat di Malaysia, satu terapi intervensi untuk meredakan sakit akut dan kronik.

"Saya hanya akan mengesyorkan pembedahan jika ia benar-benar perlu khususnya apabila ia menjejaskan gaya hidup pesakit. Walaupun demikian, kita perlu menilai sakit ini terlebih dahulu kerana pembedahan tidak bermakna rasa sakit ini akan hilang. Saya menasihatkan kepada sesiapa sahaja supaya menjaga dengan baik postur mereka, gunakan pendakap secara berterusan untuk mengelakkan bongkok. Rawat sebarang kesakitan dengan merujuk kepada doktor yang pakar dalam bidang ini," Dr Siow mengingatkan semua.

Menjaga postur anda semasa menggosok pakaian juga penting kerana pergerakan mendadak tulang belakang boleh menimbulkan masalah.
 
 

Semangat Pulihkan Penyakit Sendi

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH


KESAN pembedahan mengganti sendi yang dilakukan Vasantha enam tahun lalu.

KESAKITAN yang dilaluinya ketika berusia awal 30-an sukar digambarkan dengan kata-kata. Malah kekecewaan akibat dilanda penyakit secara tiba-tiba menyebabkan dia sukar melakukan kerja. Namun bertemankan sokongan suami serta semangat yang ada pada dirinya, Vasantha meneruskan kehidupan.

Segala-galanya bermula apabila wanita berusia 58 tahun itu mengalami tanda bengkak pada bahagian lutut kiri. Dia menganggap sakit yang tidak diketahui apa sebenarnya itu akan sembuh selepas memakan ubat.

Bagaimanapun, keadaan tidak berubah. Vasantha yang mempunyai gaya hidup aktif terpaksa menahan kesakitan setiap kali bergerak.

Bagi mendapatkan kepastian penyakit yang dialaminya itu, dia pergi ke klinik swasta untuk menjalani ujian darah pada tahun 1983. Vasantha disahkan menghidap artritis reumatoid (RA). Penderitaannya tidak berhenti setakat itu. Kesakitan yang bermula di lutut kiri beralih ke lutut kanan.

"Kesakitan berterusan menyebabkan saya hampir berubah menjadi mudah putus asa akibat keadaan diri yang kurang upaya. Walaupun terpaksa berjalan amat perlahan, saya perlu pergi kerja seperti biasa. Selain itu, saya terpaksa memanjat tangga setiap hari.

"Memang keadaan sangat perit ketika itu. Sehingga satu peringkat saya tidak boleh memutar tombol pintu rumah. Saya juga tidak mampu memegang berus gigi akibat sakit sendi yang menjalar ke bahagian tangan,'' katanya.

Wanita itu turut berkongsi cerita tentang betapa sukarnya dia untuk membongkok selain tidak boleh duduk di tandas biasa.

Namun nasib menyebelahinya lantaran dikurniakan suami yang setia dan sentiasa memberi sokongan.

''Disebabkan sokongan suami juga saya lebih bersemangat melawan penyakit ini," katanya ketika mengimbau penderitaannya diserang RA hampir 20 tahun lalu.

Vasantha kemudian menemui Pakar Runding Reumatologi dan dia disarankan melakukan pembedahan lutut.

Pada 2004, Vasantha melakukan pembedahan ganti sendi untuk lutut kanan. Setahun kemudian, dia melakukan pembedahan lutut kiri. Selepas pembedahan, dia mendapati keadaan sendinya semakin baik. Bagaimanapun dia berasa amat sakit di pergelangan tangan menyebabkan dia sukar untuk ke tandas.

Kerja-kerja rumah pula dilakukan oleh suaminya. Hakikatnya penyakit RA yang dihidapi Vasantha tidak boleh pulih sepenuhnya.

''Hingga saat ini kesakitan masih ada terutama pada bahagian sendi tetapi sekurang-kurangnya saya sudah boleh berjalan walaupun perlahan," ujarnya yang berhenti kerja pada enam tahun lalu.

Vasantha masih melakukan rawatan susulan di Hospital Serdang yang turut mendapat nasihat Pakar Perubatan Reumatologi dan Presiden Persatuan Reumatologi Malaysia, Dr. Muhaini Othman.

Nasihatnya pada wanita lain, perlu ada pemeriksaan awal jika mereka mengalami tanda-tanda awal RA.

"Penyakit saya didiagnosis pada umur 38 dan kini selepas 20 tahun saya semakin gembira dan sihat. Mungkin saya cepat bertindak dan tidak segan silu mendapatkan rawatan. Sebenarnya ia bergantung kepada seseorang. Sekarang tangan saya sudah boleh bergerak dan saya pula membantu suami.

''Pada tahun 2006, suami saya pula terpaksa berkerusi roda. Seperti mimpi, saya pula membantu suami bergerak ke mana sahaja. Ini mungkin rahmat dan dugaan yang terpaksa saya lalui. Namun, saya gembira kerana suami sebelum ini banyak memberi semangat kepada saya," ujarnya.

Sementara itu, Dr. Muhaini memberitahu, RA adalah penyakit autoimun yang terjadi apabila sistem imun tubuh tidak normal dan menyerang sel atau tisu sihat dalam badan.

"RA sifatnya progresif dan lazimnya ia menyerang sendi kecil khususnya jari (tangan dan kaki) dan pergelangan tangan. Ia kemudian menyebabkan sendi radang begitu juga tulang sekelilingnya dan akhirnya menyebabkan pesakit hilang kualiti dalam hidup," jelas beliau.

Menurut Dr. Muhaini, RA boleh beransur pulih dengan rawatan sendi yang teratur sendi dan boleh mengelak daripada sendi mengalami kerosakan kekal. Biasanya mengubah gaya hidup, makan ubat dan menjadikan hidup lebih produktif antara pelan mengurus RA.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...